Monday, October 4, 2010

PENCEMARAN UDARA

Ø  ABDUL RAHMAN BIN A AZIZ
Ø  205945
 PENCEMARAN UDARA


Pencemaran udara boleh didefinasikan sebagai terdapatnya gas, cecair atau zarah yang terkandung di dalam udara sehingga menyebabkan  perubahan dan menjejaskan hidupan dan juga persekitaran. Bahan-bahan tersebut berterbangan di udara dan memberi kesan negatif kepada manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Bahan-bahan ini akan masuk ke dalam tubuh manusia melalui proses pernafasan, keadaan  ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti penyakit barah, asma, kekejangan dan anemia.
Pencemaran udara terbahagi kepada dua iaitu pencemaran udara primer dan pencemaran udara sekunder. Pencemaran udara primer merupakan penghasilan sulfur monoksida dan karbon monoksida akibat daripada proses pembakaran yang tidak lengkap. Proses ini menyebabkan zarah-zarah yang halus terampai-ampai di udara dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan kita. Kebanyakan pencemaran udara primer ini dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan industri dan penggunaan dapur arang kayu.
Pencemaran udara sekunder pula adalah tindak balas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk dengan gas-gas yang tidak diperlukan oleh benda hidup. Sulfur dioksida memerlukan gas seperti karbon monoksida dan sulfur monoksida (pencemar primer) untuk membentuk gas-gas lain. Sebagai contoh, gabungan sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air akan menghasilkan asid sulfurik.
                                     

                                          
Pencemaran udara boleh berpunca daripada pelbagai faktor yang menyumbang antaranya seperti aktiviti perindustrian dan pembangunan. Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah. Namun kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan kepada pencemaran.  Kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon manakala industri logam pula mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik.
Selain itu, kenderaan bermotor juga menyumbang kepada pencemaran udara. Masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan bermotor seperti kereta, lori dan keretapi yang hampir kesemuanya membakar bahan api  fosil yang menghasilkan asap. Dalam sektor pengangkutan, kenderaan motor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan impak pencemaran ke atas alam sekitar. Dalam tahun 2004, 14 juta kenderaan berdaftar digunakan di Malaysia, angka ini dua kali ganda berbanding dengan sedekad lalu.   
Aktiviti harian juga penyebab berlakunya pencemaran udara. Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.
Udara yang tercemar juga berpunca daripada pembakaran terbuka.Pembakaran pokok tua di kawasan ladang untuk tujuan penanaman semula banyak partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubungi ruang udara Malaysia.
Pencemaran udara boleh mengakibatkan pelbagai kesan negatif  kepada hidupan dan alam. Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan manusia. Manusia akan menghidap pelbagai penyakit akibat menghidu udara yang tercemar. Sekiranya udara yang dihidu telah dicemari, saluran pernafasan akan menyerap pelbagai bahan pencemar masuk ke dalam paru-paru. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan fungsi paru-paru terjejas dan sistem pengaliran darah mengalami masalah.
                         
Di samping itu, pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera. Bahan-bahan pencemar seperti CFC(klorofluorokarbon) boleh mengakibatkan lapisan ozon menjadi nipis dan bocor. Ini kerana bahan-bahan tersebut bertindak balas dengan lapisan ozon sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Hasilnya kandungan karbon dioksida dalam udara bertambah serta memberi kesan rumah hijau dan kepanasan bumi akan meningkat. Penipisan lapisan ozon akan mengakibatkan sinar ultra-ungu menembusi atmosfera tanpa lapisan dan menjejaskan kesihatan manusia.
Pencemaran udara juga memberi kesan kepada tanaman. Tumbuh-tumbuhan memerlukan udara dalam proses fotosistesis dan tumbesaran. Jika udara mengandungi bahan pencemar, ini mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Ini akan mengakibatkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada pokok-pokok dan tumbuhan.
Selain itu, pencemaran udara juga memberi kesan kepada bangunan. Bangunan khususnya yang diperbuat daripada batu kapur boleh mengalami keretakan dan roboh. Ini kerana bahan-bahan pencemar yang terdiri daripada bahan kimia berbahaya akan melekat dan bertindak balas ke atas batu dan meretakkan bangunan. Bangunan akan menjadi pudar, kotor, dan rapuh.
Kesimpulannya, pencemaran udara memberi impak negatif yang amat besar kepada umat manusia. Oleh demikian, langkah-langkah proaktif perlu diambil seperti undang-undang yang lebih  ketat dan penguatkuasaannya perlu ditingkatkan agar pencemaran udara dapat diminimumkan.

No comments:

Post a Comment